Thursday, July 15, 2010

Hakikat Zat Pada Sifat Allah

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Selanjutnya diingatkan lagi dengan sesungguh-sunguh peringatan bahawa topik Hakikat Zat Pada Sifat Allah ini adalah suatu huraian yang bersifat mendalami ilmu tauhid yang sangat memerlukan pemahaman, maka disyorkan untuk membaca setiap ayat penulisan ini secara berulang-ulang kerana kalau hanya sekali pembacaan sahaja, dijamin tidak akan mendapatkan apa-apa pemahaman.

Beberapa istilah yang digunapakai, mungkin kelihatan asing bagi sebahagian orang, kerana ini adalah topik yang sebelumnya bersifat tertutup dan dipelajari secara eklusif di pelbagai tempat, yang kebanyakan murid-muridnya sudah berusia lanjut. Untuk hal-hal yang kurang dimengerti dan difahami, disarankan untuk memperbincangkannya di majlis taklim dan pengajian masing-masing di bawah bimbingan para guru yang memahami ilmu taswauf secara baik agar tidak tersesat.

Kita lanjutkan posting kali ini pada sifat Hayat:

Sebagaimana yang telah disampikan sebelum ini bahawa di antara dua puluh sifat yang difahami dalam keyakinan Ahlul sunnah wal jamaah, terdapat dua sifat utama yang sangat menentukan keberadaan sifat-sifat yang lain. Tanpa dua sifat tersebut, maka keberadaan sifat-sifat yang lain akan tidak bererti, bahkan boleh meniadakannya.

Di antara dua sifat Allah swt tersebut, yang pertama telah disampaikan pada posting sebelum ini iaitu sifat wujud. Pada posting kali ini, kita akan memahami sifat kedua iaitu sifat Hayat yang bererti hidup. Sifat hayat ini sering juga dinyatakan sebagai ibu dari segala sifat Allah kerana tanpa sifat hayat ini, sifat wujud pada zat Allah swt menjadi tidak bererti sama sekali, sehingga mustahil sifat-sifat yang lain pada Allah swt boleh dibuktikan.

Allah bersifat hayat ertinya hidup. Allah hidup dengan sifat hayatNya sehingga dengan sifat hayat itulah, Allah Maha Hidup dan wajib bagi Allah untuk selalu hidup (Hayyun / Kaunuhu Hayyan). Kerana bukti hayat Allah swt tersebut pada hidupnya tubuh kita. Maka hakikatnya bukan hidup kita, melainkan hayatnya Allah swt. Pemahamannya adalah bukan hidup aku melainkan hidupNya Allah.

Allah bersifat ilmu ertinya mengetahui. Allah mengetahui dengan sifat ilmuNya sehingga dengan sifat ilmu itulah, Allah Maha Mengetahui dan wajib bagi Allah untuk selalu mengetahui (‘Alimun / Kaunuhu ‘Aliman). Kerana bukti ilmu Allah swt tersebut pada tahunya hati kita. Maka hakikatnya bukan tahu kita, melainkan ilmunya Allah swt. Pemahamannya adalah bukan ilmu aku melainkan ilmuNya Allah.

Allah bersifat qudrat ertinya kuasa. Allah berkuasa dengan sifat qudratNya sehinga dengan sifat qudrat itulah, Allah Maha Berkuasa dan wajib bagi Allah untuk selalu berkuasa (Qadirun / Kaunuhu Qadiran). Kerana bukti qudrat Allah swt tersebut pada kuasanya tulang kita. Maka hakikatnya bukan kuasa kita, melainkan qudratnya Allah swt. Pemahamannya adalah bukan kuasa aku melainkan kuasaNya Allah.

Allah bersifat iradat ertinya berkehendak. Allah berkehendak dengan sifat iradatNya (Muridun / Kaunuhu Muridan). Sehingga dengan sifat iradat itulah, Allah Maha Berkehendak dan wajib bagi Allah untuk selalu menghendaki. Kerana bukti iradat Allah swt tersebut pada kehendaknya nafsu kita. Maka hakikatnya bukan kehendak kita, melainkan iradatnya Allah swt. Pemahamannya adalah bukan kehendak aku melainkan kehendakNya Allah.

Allah bersifat sama’ ertinya mendengar. Allah mendengar dengan sifat sama’Nya sehingga dengan sifat sama’ itulah, Allah Maha mendengar dan wajib bagi Allah untuk selalu mendegar (Sami’un / Kaunuhu Sami’an ). Kerana bukti sama’ Allah swt tersebut pada mendengarnya telinga kita. Maka hakikatnya bukan pendengaran kita, melainkan sama’nya Allah swt. Pemahamannya adalah bukan pendengaran aku melainkan pendengaranNya Allah.

Allah bersifat Basor ertinya melihat. Allah melihat dengan sifat basorNya, sehingga dengan sifat basor itulah, Allah Maha Melihat dan wajib bagi Allah untuk selalu melihat (Basirun / Kaunuhu Basyiran ). Kerana bukti basor Allah swt tersebut pada melihatnya mata kita. Maka hakikatnya bukan penglihatan kita, melainkan basornya Allah swt. Pemahamannya adalah bukan penglihatan aku melainkan penglihatanNya Allah.

Allah bersifat kalam ertinya berkata-kata. Allah berkata-kata dengan sifat kalamNya, sehingga dengan sifat kalam itulah, Allah Maha Berkata-kata dan wajib bagi Allah untuk selalu berkata-kata (Mutakallimun / Kaunuhu Mutakalliman). Kerana bukti kalam Allah swt tersebut pada berkatanya lidah kita. Maka hakikatnya bukan perkataan kita, melainkan kalamnya Allah swt. Pemahamannya adalah bukan perkataan aku melainkan perkataanNya Allah.

Jadi setelah posting pada topik “Hakikat Zat Pada Sifat Allah” sehingga setakat ini, moga-moga kita sudah boleh serba sedikit merasakan bahawa; “Tidak satu pun yang ada pada diri kita, melainkan hanyalah sifat Allah swt”. Dengan pemahaman bahawa; “Bukan aku melainkan sifat Allah semata-mata”. Wallahu a’lam…

No comments:

Post a Comment