Monday, December 28, 2009

PENJELASAN LANJUTAN

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI

LILLAH, WASSOLATU WASSAALAMU 'ALA RASULILLAH,

WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Ada pun ketika lafaz ALLAHU AKBAR di dalam takbiratul ihram, sudah jelas dan nyata akan apa yang tersurat dan tersirat di dalam permulaan iftitah. Tetapi bagi diri kita, adakah kita mengetahui akan yang tersurat dan tersirat itu? Persoalan inilah yang perlu kita renungi bagi matlamat roh solat itu sendiri. Ketika lafaz ALLAHU AKBAR itu, sebenarnya kita kembali kepada perjanjian awal kita di alam roh iaitu ALASTU BIRABBIKUM? QALUU BALA SYAHIDNA ; ADAKAH AKU INI TUHAN KAMU? YA, BAHKAN KAMI TELAH AKUI. Kita telah mengakui akan kebenaran ILAH yang kita abdikan diri kepadaNya sejak di alam roh lagi. Tetapi di alam mulki (bumi) ini, kita terlupa akan apa yang telah kita janjikan itu.

Mengikut takrif fiqh, solat itu ialah perbuatan- perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam. Dua persoalan yang ingin ditimbulkan di sini untuk renungan bersama; (1) KETIKA MANA KITA BERDIRI BETUL TETAPI BELUM BERTAKBIRATUL IHRAM LAGI, ADAKAH SOLAT TELAH BERMULA? (2) KETIKA MANA KITA TELAH MEMBERI SALAM, ADAKAH SOLAT ITU TELAH SELESAI?

Dua persoalan ini bukan hendak menafikan takrif fiqh tetapi untuk renungan akan kefahaman di atas takrif tersebut dan kefahaman tentang rukun solat. Ramai yang memberi jawapan bagi soalan yang pertama tadi bahawa solat belum lagi bermula kerana belum bertakbiratul ihram. Dan soalan yang kedua pula, ramai yang menjawab bahawa solat telah selesai kerana telah memberi salam.

Marilah kita merenung lagi wahai saudara-saudaraku sayang! Rukun solat itu 13 perkara dan seandainya kurang salah satu rukun tersebut, batallah solat. Seandainya solat belum bermula ketika mana kita telah berdiri betul tetapi belum bertakbiratul ihram, bermakna di atas kefahaman dengan jawapan itu tadi menyatakan bahawa berdiri betul itu telah dibuang sebagai rukun solat. Dan ketika mana setelah memberi salam, maka selesailah solat bermakna di atas kefahaman dengan jawapan tersebut menyatakan bahawa tertib telah dikeluarkan daripada rukun solat yang 13 perkara. Maka jadilah solat yang didirikan itu hanya dengan 11 rukun sahaja, adakah sah solat yang hanya 11 rukun ini?!!!

Dengan merujuk kembali akan syarat sah takbiratul ihram, salah satu daripada syarat sahnya ialah telah nyata berdiri betul. Dan memang diakui bahawa berdiri betul itu adalah salah satu daripada rukun solat. Jadi nyatalah bahawa ketika mana di dalam keadaan berdiri betul tetapi belum bertakbiratul ihram, sudah bermula akan solat itu kerana rukun solat merupakan bahagian yang mensahkan akan solat tersebut.

Ketika mana setelah memberi salam, solat itu belum selesai lagi kerana rukun solat yang terakhir iaitu tertib belum ditunaikan lagi. Dari segi makna tertib itu, memanglah mendahulukan perkara yang dahulu dan mengemudiankan perkara yang kemudian. Tetapi dari segi maksud pula, tertib itu ialah adab, sopan dan ihsan (MAKSUD TERTIB : BAGI ADA DIAM SEKETIKA). Bagi maksud tertib, yang dikatakan ADA DIAM SEKETIKA bukan hanya selepas memberi salam, tetapi meliputi segala rukun dan sunat solat itu. Maksud tertib bagi setiap perbuatan solat samada rukun atau sunat insya Allah akan dibahaskan kemudian. Cuma yang hendak ditekankan di sini ketika setelah memberi salam.

Setelah memberi salam dan muka kita kembali mengadap kiblat, maka ajarkan diri untuk diam seketika bagi memberikan rukun tertib itu akan haknya, sekadar sekali tasbih atau yang seumpamanya. Lagi panjang diam itu maka lagi bagus dengan syarat ketika diam itu, hati tertumpu akan hak seorang hamba yang berdepan dengan Tuhannya. Dengan kata lain, adab dan sopan si hamba itu dijaga ketika mana telah, sedang dan akan bertemu dengan Tuhannya yang merupakan zat wajibal wujud yang bernama Allah.

Renunglah saudara-saudaraku sayang dengan apa yang dinyatakan! Insya Allah pada yang akan datang, akan dibahaskan pula tentang tertib bagi setiap rukun pula. Secara umumnya, tertib bagi setiap rukun ini bolehlah juga disebut dengan thoma’ninah.

Sekian, wallahu a’lam..........

No comments:

Post a Comment