Sunday, December 27, 2009

NIAT : ILMU, AZAM DAN TAHQIQ

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI
LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH,
WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA,
INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM,
RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN
WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Adapun niat tu pada hakikatnya adalah merupakan sesuatu yang tanpa huruf dan suara, yang zahir hanyalah sifat-sifatnya yang boleh juga dikatakan rukun bagi niat tersebut. Dan niat itu boleh ditakrifkan sebagai himpunan ilmu yang telah sebati di dalam jiwa dan dibuktikan dengan amalan. Dengan takrifan ini jelaslah bahawa niat itu menyatakan rukunnya yang tiga iaitu ilmu (qasad), azam (ta’radh) dan tahqiq (ta’yin).

Secara umumnya dan di dalam segala ibadah yang menjadi bukti pengabdian hamba kepada zat wajibal wujud yang Maha Esa, yang tiada permulaan dan pengakhiran, yang berdiri Dia dengan zatNya serta bersalahan Dia dengan sekalian yang baharu, si hamba hendaklah mengetahui terlebih dahulu akan apa yang hendak diabdikan itu (inilah yang dikatakan ilmu). Bila mana ilmu ini (yang diberikan olehNya jua) telah sebati di dalam jiwa dan bukannya hati zahir ini, akan terjadi sesuatu desakan di dalam jiwa tersebut untuk melakukan apa yang diketahuinya (inilah yang dikatakan azam). Dan apabila terjadinya perlakuan atau perbuatan yang diazami oleh hamba tadi berdasarkan ilmu yang dimiliki dan difahami olehnya, maka nyatalah akan kelakuan ataupun perlakuan itu (inilah yang dikatakan ta’yin). Dan adapun ilmu, azam dan tahqiq ini juga dinamakan qasad, ta’radh dan ta’yin, yang berpunca daripada qalbi, qauli dan fi’li, yang dita’lukkan dengan sifat ilmu, sama’ dan basar. Tetapi si hamba perlu beringat bahawa tiga perkara yang dikatakan rukun ini merupakan anugerahNya semata-mata, dan si hamba mesti mengakui bahawa diri si hamba ini tidak punya apa-apa melainkan apa yang diberikan olehNya semata-mata. Dari sudut syariat pula, si hamba perlu berusaha ikhtiar di dalam menuntut dan mencari ilmu. Usaha ikhtiar ini juga merupakan anugerahNya, dan bukan di atas qudrah dan iradah si hamba, semua itu adalah qudrah dan iradahNya. Dengan ini insya Allah, Dia akan memelihara si hamba untuk terus berada di jalan yang diredhaiNya, amin ya rabbal ‘alamin.............

Ada pun lafaz AKU SEMBAHYANG itu bukanlah niat, tetapi hanya bagi melazimkan perbuatan solat tersebut. Kenyataan ini bukan nak menafikan perbuatan tersebut, tetapi sekadar untuk renungan kerana lafaz niat adalah tidak sama dengan hakikat niat yang telah dinyatakan di awal-awal tadi bahawa niat itu tidak berhuruf dan bersuara. Di sini hanya pernyataan dalam bentuk ibarat sahaja yang digunakan untuk kita memahami apa itu niat. Sebagai satu misalan, benih pokok durian yang merupakan biji durian itu pada hakikatnya telah ada akan sepohon pokok durian tetapi belum ada kenyataan di alam nyata lagi. Bila mana benih ini mengeluarkan tunasnya yang boleh diistilahkan sebagai kenyataan bagi ‘ain biji, tetapi kenyataan yang nyata zahir bagi pokok itu belum nampak lagi. Dan apabila ‘ain biji ini mula membesar hingga dilengkapi ia akan pohon, ranting, daun dan buah, maka telah nyata kenyataan zahirnya pokok durian. Dari misalan ini tergambarlah akan ilmu, azam dan tahqiq. Dengan misalan ini, bolehlah dikatakan semasa benih itu hanya merupakan biji bagi durian, telah pun ada akan pokoknya tetapi belum terzahir lagi akan kenyataan pokok durian itu. Mafhum daripada misalan ini, telah nyata akan sesuatu kenyataan yang telah zahir, sedang zahir dan akan zahir itu di dalam ilmu Allah ta’ala sejak azali lagi.

Dan mafhum inilah yang terkandung di dalam permulaan doa iftitah di dalam solat, satu pernyataan bagi menyatakan penyandaran si hamba kepada Tuannya yang haq iaitu Allah ta’ala. Ada pun permulaan doa iftitah itu bermaksud; ‘SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENGHADAPKAN DIRIKU (ZAHIR DAN BATIN) DENGAN SEBENAR-BENAR PENGHADAPAN KEPADA ZAT WAJIBAL WUJUD YANG TELAH MERENCANAKAN AKAN KEJADIAN LANGIT-LANGIT DAN BUMI SERTA APA YANG DI ANTARA LANGIT-LANGIT DAN BUMI SERTA APA YANG MELEPASI LANGIT-LANGIT DAN BUMI, DI DALAM KEADAAN AKU SUCI BERSIH LAGI PUTIH SERTA DI DALAM KEADAAN AKU MENYERAHKAN DIRIKU BULAT-BULAT KEPADAMU YANG BERHAK DAN TIADA YANG BERHAK SELAIN DARIMU KE ATASKU MELAINKAN ENGKAU SAHAJA WAHAI ZAT WAJIBAL WUJUD YANG BERNAMA ALLAH, DAN SESUNGGUHNYA AKU BUKANLAH DARIPADA GOLONGAN ORANG-ORANG YANG MENYEKUTUKANMU’.

Pernyataan di dalam permulaan doa iftitah ini merujuk kembali kepada perjanjian kita di alam roh lagi iaitu ALASTU BIRABBIKUM, QALUU BALA SYAHIDNA; ADAKAH AKU NI TUHAN KAMU? YA, BAHKAN KAMI TELAH MENGAKUINYA. Maka renungilah saudara-saudaraku yang aku sayangi dan di atas dasar mahabbah sesama umat Muhammad saw, renungilah soalanku; KETIKA MANA KITA MELAUNGKAN ALLAHU AKBAR DI DALAM TAKBIRATUL IHRAM, ADAKAH SAMA DENGAN PERNYATAAN YANG TERSURAT DAN TERSIRAT DI DALAM PERMULAAN DOA IFTITAH INI?

Tepuk dada, di atas ilmu yang ada, tanyalah hati kecil yang tak pernah berdusta!

Wallahu a’lam.............

1 comment:

  1. MasyaAllah...tuan moga2 ilmu ini akan b`panjangan kerna ku tahu ilmu ini adalah hak nya dan segala yg ada ini akan kembali padaNYA

    ReplyDelete