Sunday, August 15, 2010

Mengapa Harus Belajar Tasawuf?!

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Posting kali ini mengajak kita untuk meneliti dan membahaskan tentang ilmu syariat, ilmu hakikat dan ilmu tariqat yang merupakan satu rangkaian yang saling berhubungan dan saling mempengaruhi serta saling menguatkan antara satu sama lain dalam pencapaian kesempurnaan nilai ibadah yang disebabkan kerana Allah dan dilaksankan hanya kepada Allah semata.

Syariat merupakan suatu perintah agar insan membiasakan atau melazimi kehambaan dengan menjadikan suatu jalan ibadah yang sesuai dengan syarat dan rukun yang telah ditetapkan melalui garis hukum yang jelas. Tariqat merupakan perlakuan yang khusus bagi para penempuh jalan Allah swt dengan pencapaian berbagai manzil seperti pangkat, darjat, untuk peningkatan di dalam kepelbagian maqam pencapaian. Sedangkan hakikat merupakan pengenalan yang memahami dengan pencapaian yang mendekatkan dengan ibadah, hingga kepada sesuatu itu menjadi keimanan yang tetap melalui kelaziman ibadah.

Syariat adalah sesuatu yang telah datang bersama pembebanan (at taklif), sedangkan hakikat adalah apa yang diperkenalkan (at Ta’rif). Syariat dikuatkan dengan hakikat. Hakikat daripada tariqat adalah syariat, sehingga setiap syariat adalah hakikat dan segala hakikat adalah syariat. Sehingga dalam perbahasan ini difahami bahawa hubungan antara syariat dan hakikat merupakan hubungan yang saling melengkapi dan mempengaruhi di antara satu sama lain. Hakikat yang difahami tanpa dukungan syariat hanya akan melahirkan kehampaan dan syariat tanpa hakikat hanya akan mendatangkan keletihan, sehingga tanpa syariat, hakikat itu bohong dan tanpa hakikat, syariat itu kosong!

Ilmu yang mempelajari tentang ilmu syariat disebut ilmu fiqah. Di dalamnya dikaji dan difahami tentang hukum-hukum Islam, syarat dan rukun ibadah dan sebagainya seperti wajib, sunat, haram, makruh dan mubah atau harus yang dikenali dengan hukum yang lima atau hukum syar’ie berdasarkan dalil-dalil aqli dan dalil-dalil naqli yang jelas iaitu Al Quran, Al Hadith, Ijmak dan Qiyas, serta tata cara pengambilan garis hukum dari sesuatu hukum yang kemudian daripada hukum yang mendahuluinya.

Faham Ahlus sunnah wal Jamaah secara umum menyandarkan pemahamannya kepada beberapa mazhab atau aliran. Mazhab yang terkenal bagi kalangan Ahlul sunnah wal Jamaah adalah mazhab yang empat iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Hambali dan mazhab Syafi’ie. Sedangkan mazhab-mazhab yang lain selain daripada mazhab yang empat tersebut hanya dipakai di bebarapa tempat sahaja dan jumlah pengikutnya secara umum adalah sedikit. Yang memahami ilmu fiqah disebut fuqaha (para faqih) atau ulama fuqaha (ulama fiqih).

Ilmu yang mempelajari ilmu hakikat disebut ilmu tasawuf, yang memahaminya disebut sufi yang terdiri di antara kalangan para murid (yang berhasrat atau bertasawuf) atau para salik (penempuh jalan), para mursyid (pembimbing). Daripada aliran tasawuf yang pelbagai, semuanya bermula pada satu tujuan iaitu mendekatkan diri kepada Allah swt dengan cara hijrah atau berpindah menuju kepada Allah swt setelah ditanamkan kebaikan bagi dunia sampai akhirat, agar dapat dipetik hasil daripada apa yang telah diusahakan melalui amal ibadah syariat yang hanya disebabkan dan ditujukan untuk Allah semata-mata, tanpa rasa berhajat kepada syurga dan tidak pula takut akan neraka. Pada kebanyakan aliran tariqat, cara pencapaian pada tingkatan atau maqam tertentu dicapai melalui cara suluk atau bersuluk dan ada juga yang tidak melalui cara suluk atau bersuluk ini, seperti aliran tariqat satariyah.

Jadi, hubungan di antara ilmu syariat dengan ilmu hakikat yang ditempuh melalui tariqat yang benar lagi lurus, merupakan hubungan yang saling melengkapi. Ilmu syariat diibaratkan sebagai jasad dan ilmu hakikat yang juga dinyatakan sebagai ilmu batin atau ilmu hati diibaratkan sebagai roh, sehingga tanpa roh, jasad itu pasti mati, tidak bererti apa-apa. Allah swt tidak akan menerima ibadah seseorang hamba yang disebabkan selain kerana Dia. Ibadah yang mengharapkan pahala dan syurga daripada Allah swt adalah ibadah para pedagang. Sedangkan keikhlasan itu sendiri bererti tanpa tawar menawar, tanpa mengharapkan upah atau balasan apa-apa pun selain daripada pengabdian yang didasari rasa cinta terhadap kekasih hati yang disayangi iaitu Allah rabbul jalil.

Ketika di hatimu hanya ada Dia, maka bibirmu tidak akan pernah merasa lelah untuk selalu mengucapkan namaNya melalui zikir-zikir yang disenangiNya. Ketika engkau mendengar bahawa Dia juga menyebut namamu, pada saat itu engkau tahu bahawa Dia juga telah mencintaimu. Semenjak itu, seluruh aktiviti dan seluruh kegiatan daripada hidup yang engkau jalani hanyalah kerana Dia, bahkan hidup dan matimu hanyalah untukNya. Tempat yang sepi dan sunyi, jauh daripada keramaian dan terhindar daripada mata yang memandang adalah tempat yang engkau idam-idamkan untuk memadu kasih dan bercumbu mesra dengan kekasihmu. Ketika semua mata tertutup dalam dinginnya balutan selimut malam, Dia datang setiap sepertiga malam yang akhir untukmu, sambutlah kekasihmu. Curahkan seluruh isi hatimu, Dia akan memberikan apa yang engkau mahu dan dia juga akan memberikan sesuatu yang belum pernah engkau bayangkan sebelumnya, kerana Dia Pencinta Sejati.

Melalui posting yang sangat singkat ini, mudah-mudahan dapat memberikan gambaran untuk orang-orang yang selama ini mempermain-mainkan dan menolak akan ilmu tasawuf. Yang lebih penting daripada itu, melalui posting yang pendek dan singkat ini diharapkan agar ianya boleh menjadi bahan perbincangan bagi kita mempertajamkan lagi pemahaman kita di dalam soal hati. Saya iringi doa agar kita dan seluruh keluarga kita selalu di dalam lindungan dan rahmat Allah swt, amin… Wallahu a’lam…

2 comments: