Sunday, August 29, 2010

Ibadah itu Hukumnya Haram!!!

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Menurut definisi hukum Islam dinyatakan bahawa ibadah itu adalah haram untuk dilaksanakan, kecuali adanya tatacara aturan hukum yang mengaturnya, sehingga setiap peribadatan yang dilaksanakan mesti mempunyai landasan hukum yang jelas dan tegas, termasuk tata cara perlaksanaannya. Apabila tidak ada penetapan hukum yang jelas tentang sesuatu peribadatan itu, maka hukum beribadah jatuh kepada haram dan ditolak di hadapan Allah swt. Bahkan mungkin saja perlaksanaan peribadatan tersebut menjadi dosa dan mendapat laknat daripada Allah swt.

Tatacara aturan hukum yang mengatur atau menjadi landasan hukum sesuatu peribadatan dikenali sebagai hukum syar’ie atau hukum yang lima kerana terdiri daripada lima asas pokok hukum Islam iaitu:

1. Wajib: Wajib bererti perintah untuk melaksanakan sesuatu peribadatan sesuai dengan syarat dan rukun yang sudah ditetapkan. Perintah tersebut disertai ganjaran bagi yang mahu mengerjakannya dan hukuman bagi yang tidak mahu mengerjakannya. Secara sederhana dikenali dengan pernyataan; “Wajib itu bererti kalau dikerjakan akan mendapat pahala dan kalau ditinggalkan akan mendapat dosa daripada Allah dan dinyatakan sebagai orang yang ingkar terhadap perintah Allah”.

2. Sunat: Sunat bererti perintah untuk melaksanakan sesuatu peribadatan sesuai dengan syarat dan rukun yang sudah ditetapkan. Perintah sunat ini hanya berlaku kepada siapa yang sanggup untuk melaksanakannya. Perintah sunat ini disertai dengan ganjaran bagi yang mahu melaksanakannya dan tidak ada hukuman bagi yang tidak sanggup untuk melaksanakannya. Secara sederhana dikenali dengan pernyataan; “Sunat itu bererti kalau dikerjakan mendapat pahala daripada Allah dan kalau ditinggalkan tidak mendapat dosa”.

3. Haram: Haram bererti perintah untuk meninggalkan sesuatu peribadatan atau perbuatan lain yang sudah ditetapkan. Perintah tersebut disertai dengan hukuman bagi yang engkar dan tetap mengerjakannya dan ganjaran bagi yang sanggup meninggalkannya. Secara sederhana dikenali dengan peryataan; “Haram itu bererti kalau dikerjakan mendapat dosa dan kalau ditinggalkan mendapat pahala daripada Allah”.

4. Makruh: Makruh bererti perintah untuk meninggalkan suatu peribadatan kepada yang sanggup meninggalkannya. Perintah makruh ini disertai dengan ganjaran bagi yang mahu meninggalkannya dan tidak ada hukuman bagi yang tetap melakukannya. Secara sederhana dikenali dengan pernyataan; “Makruh itu bererti kalau dikerjakan tidak berdosa, kalau ditinggalkan akan mendapat pahala daripada Allah’.

5. Mubah: Mubah atau dikenali juga dengan harus bererti perintah membolehkan untuk mengerjakan atau tidak mengerjakan sesuatu peribadatan. Perintah mubah ini tidak disertai dengan ganjaran atau balasan bagi yang mengerjakannya atau tidak mengerjakannya. Secara sederhana dikenali dengan pernyataan; “Mubah bererti kala dikerjakan tidak mendapat pahala dan kalau ditinggalkan juga tidak berdosa”.

Hukum syar’ie ditetapkan berdasarkan di atas dua pertimbangan atau merujuk kepada dua jenis dalil rujukan iaitu:

A. Dalil Naqli

Dalil Naqli iaitu dalil yang berdasarkan kepada penetapan yang sudah ditetapkan Allah dan Rasulullah Muhammad saw. Penetapan itu merupakan penetapan yang bersifat pasti ataupun penetapan-penetapan yang memerlukan penafsiran lebih lanjut berdasarkan struktur dan tingkatannya. Dalil naqli dapat dibezakan atas empat tingkatan di mana tingkatan itu merupakan struktur bertingkat, ertinya dalil yang berada pada tingkatan yang lebih rendah tidak boleh bertentangan atau berlawanan dengan dalil yang berada di atasnya. Apabila ditemukan dalil yang saling bertentangan, atau dalil hukum syar’ie yang tidak sesuai di antara satu dalil dengan dalil yang lainnya, maka dalil yang dipakai adalah dalil yang paling dekat pengertiannya dengan dalil yang berada di atasnya.

Struktur dalil hukum syar’ie tersebut adalah:

1. Al-Quran: Dalam struktur hukum syar’ie, Al Quran menempati peringkat pertama. Pengertian Al Quran sebagai dalil hukum syar’ie adalah sesuai dengan posisi Al Quran sebagai sumber hukum yang tertinggi. Setiap penetapan hukum syar’ie harus dan mutlak tidak boleh bertentangan dengan kitab suci Al Quran.

2. Hadith atau Sunnah: Dalam struktur hukum syar’ie, Hadith atau Sunnah menempati peringkat kedua setelah kitab suci Al Quran, ertinya kedudukan hadith berada di bawah Al Quran sebagai kitab hukum. Hadith atau sunnah ini bersifat penafsiran dan penjelasan daripada hukum-hukum syar’ie yang sudah ditetapkan di dalam Al Quran sebagai kitab hukum tertinggi.

3. Ijmak: Ijmak bererti kesepakatan beberapa orang atas sesuatu persoalan hukum yang timbul di dalam hukum syar’ie. Persoalan–persoalan itu terbatas kepada persoalan yang di dalam Al-Quran sebagai kitab hukum utama dan hadith sebagai perincian penjelasan Al Quran, tidak ditemukan keterangan yang jelas atau keterangan yang terperinci.

Penetapan-penetapan hukum syar’ie dengan kaedah ijmak ini tidak boleh merupakan penetapan hukum tersendiri. Tetapi tetap merupakan penjelasan hukum yang berada di atasnya berdasarkan wawasaan para ulama yang sudah menguasai ilmunya dengan baik, serta pertimbangan asas manfaat dan mudharatnya daripada sesuatu penetapan hukum terhadap umat.

4. Qiyas: Qiyas bererti mencari persamaan daripada persoalan hukum syar’ie yang timbul dengan hukum-hukum yang sudah ditetapkan di dalam Al Quran dan Hadith serta hukum ijmak.

Penetapan persamaan hukum syar’ie dengan kaedah qiyas dapat dilihat pada penetapan hukum alkohol yang disamakan dengan khamar. Pernyataan alkohol tidak terdapat di dalam Al Quran dan Hadith, tetapi alkohol tersebut mempunyai kesan yang sama dengan khamar kepada peminumnya iaitu minuman yang memabukkan.

Penetapan hukum qiyas, di samping tetap berpandukan kepada Al Quran sebagai kitab hukum dan sebagai landasan hukum utama. Hukum qiyas tetap tidak boleh ditetapkan secara sebarangan tetapi harus berdasarkan pendapat para ulama dan para ahli yang berkaitan, berdasarkan asas manfaat dan mudharat yang sesuai dengan Al Quran dan Hadith.

B. Dalil Aqli

Dalil Aqli bererti dalil hukum syar’ie yang sesuai dengan akal yang sihat. Manusia yang secara psikologinya mengalami masalah kejiwaan tidak berhak menetapkan hukum akal dan pendapatnya wajib untuk ditolak. Penetapan dalil aqli di dalam hukum syar’ie dilakukan setelah memperhatikan dan mempelajari hukum-hukum syar’ie berdasarkan dalil-dali naqli secara saksama.

Dalil aqli ini melahirkan beberapa jenis hukum iaitu:

1. Wajib

Wajib dalam dalil aqli pada hukum syar’ie adalah wajib pada akal, ertinya seluruh penetapan hukum syar’ie yang sudah ditetapkan dapat diterima oleh akal yang sihat, baik wajib secara akal menerimanya ataupun wajib secara akal untuk menolaknya.

2. Mustahil

Mustahil dalam dalil aqli pada hukum syar’ie adalah mustahil pada akal, ertinya seluruh penetapan hukum syar’ie yang sudah ditetapkan mustahil diterima oleh akal yang sihat, baik mustahil secara akal menerimanya ataupun mustahil secara akal untuk menolaknya.

3. Jaiz atau Mungkin

Jaiz atau Mungkin dalam dalil aqli pada hukum syar’ie adalah mungkin pada akal, ertinya seluruh penetapan hukum syar’ie yang sudah ditetapkan mungkin diterima oleh akal yang sihat, baik mungkin secara akal menerimanya ataupun mungkin secara akal untuk menolaknya.

Hukum jaiz atau mungkin ini timbul kerana keterbatasan akal manusia di dalam menafsirkan sesuatu persoalan hukum yang timbul. Dalam peribadatan, hukum jaiz atau mungkin pada akal ini lebih dekat kepada haram dan makruh. Wallahu a’lam…

No comments:

Post a Comment