Thursday, August 19, 2010

Bertasawuf Dalam Syariat

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Dari segi bahasa, syariat adalah tempat yang didatangi atau dituju oleh manusia dan binatang untuk meminum air. Sedangkan menurut istilah syara’, syariat merupakan nas-nas yang suci yang dikandung di dalam Al Qur’an dan As Sunnah.

Syeikh Amin Al Kurdi memberikan batasan syariat dengan hukum-hukum yang diturunkan Allah swt kepada Rasulullah saw yang difahami dan diijtihadkan oleh para ulama daripada Al Kitab dan As Sunnah, baik berbentuk nas atau istimbath. Hukum-hukum itu meliputi Ilmu Tauhid, Ilmu Fiqah dan Ilmu Tasawuf.

Dalam erti istilah yang lebih sempit, syariat ialah hukum-hukum dan tata aturan yang disyariatkan Allah swt kepada hambaNya untuk diikuti dan hubungan dengan Allah swt dan sesama manusia. Pengertian ini dikenali secara meluas dengan istilah atau pengertian hukum fiqah yang sebetulnya. Fiqah itu sendiri bukanlah merupakan nas-nas Al Qur’an dan As Sunnah, tetapi sudah merupakan hasil olahan manusia.

Prof. Dr. Salam Mazkur memberikan definisi bahawa fiqah adalah segala hukum-hukum keagamaan, baik yang berhubungan dengan hukum ‘aqaid ataupun dengan hukum amaliah, maka hal ini menyebabkan kalimah fiqah diperbatasi untuk sekelompok hukum yang bersifat amaliah, syariat yang lalu dipetik atau diistimbathkan daripada dalil yang jelas sebagaimana dipergunakan kalimah fiqah untuk nama-nama hukum tersendiri.

Imam As Syafi’ie mendefinisikan fiqah adalah suatu ilmu tentang hukum-hukum syariat yang bersifat amaliah yang diperolehi dari satu per satu dalilnya. Dengan demikian, fiqah adalah apa yang dapat difahami manusia dari teks-teks suci Al Qur’an dan As Sunnah dengan melakukan ijtihad untuk menangkap makna-makna, ‘ilat-’ilat (sebab-sebab) serta tujuan yang hendak dicapai oleh teks suci tersebut.

Kerana perbahasan fiqah mencakupi perbahasan mengenai hukum-hukum dengan objek manusia, maka fiqah tersebut akan mencakupi semua disiplin ilmu seperti Ilmu Fiqah, Ilmu Tauhid, Ilmu Akhlak dan sebagainya.

Perlaksanaan aturan dan ketentuan hukum tanpa memahami dan menghayati tujuannya, maka perlaksanaannya tidak akan menemui sasaran yang ingin dicapai daripada tujuan hukum itu sendiri dan tidak akan memiliki nilai yang sempurna iaitu kebenaran yang datang dari Allah swt, yang di dalam istilah tasawuf dinamakan hakikat yang merupakan inti dari hukum itu sendiri.

Hukum itu ditetapkan atau beredar menurut ilatnya. Kalau ilatnya masih ada, maka hukumnya ada; Kalau ilatnya sudah hilang, maka hukumnya akan hilang; Sehingga hubungan di antara syariat dengan hakikat dapat dinyatakan bahawa syariat itu adalah lahirnya dan hakikat itu adalah batin daripada tujuan penetapan sesuatu hukum.

Untuk mencapai tujuan daripada sebuah penetapan hokum, diperlukan jalan atau cara serta kaedah mencapainya, agar dalam perlaksanaannya tidak menyimpang daripada tujuan penetapan hukum yang telah ditetapkan. Sebab tanpa mengetahui jalannya atau caranya dalam mencapai sesuatu tujuan hukum, tentunya akan sulit untuk sampai ke tujuan tersebut. Jalan atau cara atau kaedah tersebut dinamakan tariqat.

Sedangkan tasawuf merupakan sikap hati rohani yang taqwa, yang selalu ingin dekat kepada Allah swt. Apabila dihubungkan dengan pengertian syariat dalam erti yang luas, yang meliputi seluruh aspek hidup dan kehidupan manusia akan mempunyai hubungan yang sangat erat dan saling mengisi di antara satu dengan yang lain.

Sehingga untuk mencapai kemaslahatan diri dan umat di dunia dan akhirat dalam erti yang sesungguhnya, tujuan hidup harus sejalan, dituruti dengan tujuan tasawuf, iaitu melaksanakan hakikat ubudiyah bagi memperolehi tauhid yang haqqul yakin, makrifatullah yang tahqiq.

Tujuan tasawuf dalam erti ini, tidak mungkin hanya dilaksanakan dengan zikir atau zikrullah dalam erti khusus sahaja, tetapi harus dilaksanakan sejalan dengan perlaksanaan syariat. Oleh sebab itu, seluruh aktiviti syariat harus digerakkan, didasarkan, dimotivasikan dan dijiwai oleh hati nurani yang ikhlas, lillahi ta’ala yang kesemuanya bermuarakan kepada redha Allah dan kemaslahatan diri dan kemaslahatan umat yang menjadi tujuan daripada syariat.

Setelah kemaslahatan diri dan maslahat umat telah diperolehi, harus digerakkan dan diarahkan pula kepada memperkukuhkan dan mentahqiqkan tauhid makrifatullah yang merupakan satu-satunya tujuan Allah swt menjadikan makhluk yang bernama mansuia. Imam Malik mengatakan bahawa barangsiapa berfiqah atau bersyariat sahaja tanpa bertasawuf, nescaya dia berkelakuan fasiq (tidak bermoral) dan barang siapa yang bertasawuf tanpa berfiqah atau bersyariat, nescaya dia berkelakuan zindiq (menyelewengkan agama) dan barang siapa yang melakukan kedua-duanya,

maka sesungguhnya dia adalah golongan Islam yang hakiki (tulen). Dan Imam Ali Ad-Daqqaq mengatakan bahawa sesungguhnya syariat itu adalah hakikat. Bahawa sesungguhnya syariat itu wajib hukumnya, kerana ia adalah perintah Allah swt. Demikian juga hakikat adalah syariat untuk mengenal Allah (makrifat kepada Allah). Hakikat itu wajib hukumnya kerana ia adalah perintah Allah.

Tujuan atau sasaran ajaran dan amalan tasawuf, iaitu melaksanakan hakikat ubudiyah bagi memperolehi tauhid yang haqqul yakin, makrifatullah yang tahqiq. Yang menjadi kunci makbulnya adalah adab beribadat itu sendiri. Ibadat yang berbentuk syariat itu harus digerakkan oleh hati yang khusyuk, tawaduk dan lillahi ta’ala. Situasi dan hal hati yang demikian inilah yang dinamakan adab beribadat.

Tokoh sufi Al Jalajili mengatakan bahawa tauhid itu diwajibkan oleh iman. Barang siapa yang tidak beriman, maka dia tidak bertauhid.Iman itu wajib kerana diwajibkan oleh syariat. Barang siapa yang tidak bersyariat, maka dia tidak beriman dan tidak bertauhid. Syariat itu wajib kerana diwajibkan oleh adab. Barang siapa yang tidak beradab, maka ia tidak bersyariat, tidak beriman dan tidak bertauhid.

Para mukhlasin yang sudah dapat mewujudkan pengabdian semata-mata kerana Allah swt, Allah swt akan menganugerahkan ilmu makrifat kepadanya iaitu ilmu mengenali rahsia-rahsia ghaib yang dinamakan dengan Ilmu Ladunni seperti yang telah diberikan kepada Nabi Khidir ‘alahis salam dan hamba-hambaNya yang dikehendakiNya iaitu hamba yang hanya mengabdikan dirinya kepada Allah swt. “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam, amin… Wallahu a’alam…

No comments:

Post a Comment