Friday, January 1, 2010

IMAM : BERIMAMKAN APA?

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Ada pun pula tentang berimam seseorang itu ketika mana dia melakukan solat. Seandainya dia melakukan solat sebagai seorang makmum, bererti dia berimamkan akan imam yang berada di depan yang mengimamkan solatnya itu. Dan kenyataan ini memang bukan nak dinafikan, sememangnya betul dan benar keadaan itu. Satu persoalan yang hendak ditimbulkan di sini untuk sama-sama kita merenungi, kepada apakah atau siapakah imam yang berada di depan yang mengimamkan solat itu berimam? Atau seandainya solat itu didirikan secara berseorangan, kepada apakah atau siapakah pula seseorang yang bersolat itu berimam? Seandainya ada yang menjawab bahawa ka’bah atau baitullah, itu adalah kiblat kita dan bukannya imam yang dimaksudkan di dalam persoalan tadi.

Marilah kita merenung sejenak akan soalan-soalan di alam kubur yang ‘terbocor’ kepada kita di dunia ini, antaranya APAKAH IMAM KAMU? Dan jawapannya ialah AL QURAN ITULAH IMAMKU. Jadi sesiapa pun yang bersolat tidak mengira statusnya sebagai imam atau makmum atau bersolat sendirian, memang tidak dapat lari dari kenyataan bahawa al Quran al Karim itulah imam yang kita imami.

Marilah kita melanjutkan lagi akan bab imam ini, bukan untuk membuatkan pembaca pening kepala dan salah faham, tetapi untuk renungan kita bersama yang mungkin akan menambahbaikkan lagi akan pengabdian kita kepadaNya Rabbul Jalil. Setelah diputuskan bahawa al Quran itu sebagai imam kita yang sememangnya kita akui, kepada apakah pula al Quran yang 30 juzuk ini berimam?

Al Quran yang 30 juzuk itu adalah diliputi akan ia apa yang terkandung di dalam fatihatul kitab iaitu surah al Fatihah. Maka, al Quran yang 30 juzuk itu dikatakan berimamkan kepada fatihatul kitab, surah al Fatihah. Surah al Fatihah yang juga digelar dengan nama sab’ul mathani (tujuh ayat yang berulang-ulang) itu berimamkan kepada apa pula? Seperti yang telah dikhabarkan tadi bahawa surah al Fatihah itu terkandung di dalam ayat-ayatnya akan 30 juzuk di dalam al Quran, dan apa yang terkandung di dalam al Fatihah itu pula, terkandung akan ia di dalam kalimah basmalah. Jadi, al Fatihah itu berimamkan kepada basmalah. Dan kalimah basmalah itu pula tertumpu ia atau berimamkan ia kepada kalimah baa’, dan baa’ itu pula tertumpu akan ia atau berimam akan ia dengan titik. Dan titik ini bukannya kosong, tetapi titik ini bermakna iaitu DENGAN AKU (ALLAH) AKAN SEGALA YANG TELAH BERLAKU, SEDANG BERLAKU DAN AKAN BERLAKU. Maka nyatalah akan zat wajibal wujud yang merencanakan segala kejadian, dan penghayatan kita sebagai seorang hamba ditumpukan dalam takbiratul ihram, ALLAHU AKBAR! Nyatalah akan segala gerak dan diam itu dariNya zat wajibal wujud yang bernama Allah, di atas qudrah dan iradahNya, bukan di atas qudrah dan iradah kita kerana kita ini hanyalah hamba yang tidak punya apa-apa dan tiada berdaya upaya melainkan hanya anugerahNya semata-mata.

Di sinilah antara dua martabat itu dinilai dan dihukumkan iaitu di antara zat wajibal wujud dan mumkinal wujud. Jadi, ketika mana kita hendak bersolat dan telah pun berwudu’, maka mengadaplah kita akan kiblat dan di dalam keadaan berdiri betul (bagi yang berkemampuan), bertakbirlah kita akan takbiratul ihram iaitu ALLAHU AKBAR, diikuti dengan segala rukun-rukun dan sunat-sunat solat. Janganlah saudara-saudaraku sekalian mengakui bahawa gerak kita bersolat tadi adalah gerak kita, kerana kita tak mampu bergerak andai tidak digerakkan olehNya. Dan begitu juga kita tak mampu berdiam dengan diam kita seandainya tidak didiamkan olehNya. Pendek kata, segala apa yang terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi adalah di dalam ilmu Allah dan di bawah qudrah dan iradahNya.

Satu lagi soalan untuk renungan masing-masing, ADAKAH KITA MASIH MENCURI AKAN HAK ALLAH? Semoga Dia akan membimbing kita agar menjadi hambaNya yang sebenar, sedar akan hakikat kita sebagai hamba dan hakikatNya zat wajibal wujud yang memiliki segala-gala. Semoga kita sentiasa di dalam rahmatNya kerana yakinlah bahawa sifat rahmanNya itu mengatasi akan murkaNya. Kembalilah kepadaNya dengan izinNya, maka tenanglah kita di dalam ketenanganNya, amin ya rabbal ‘alamin………….

Sekian, wallahu a’lam………….

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt
    Mohon maaf bertanya kenapa tiada lagi post2 terbaru? Saya amat berminat ttg topik ini yang sedang saya cuba pelajari

    ReplyDelete