Thursday, March 8, 2012

‘Negaraku’

 

clip_image002[4]

Isti’azati billah, wabtidaie bismillah, wa kullu hamdin lillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah, wa ‘ala aalihi wa ashabihi wa man waalah...

Telah lama aku berdiam diri tanpa sebarang coretan tambahan dalam tempoh lebih kurang setahun. Maka insya Allah, aku akan mulai aktif kembali di dalam coretan ini. Apa sahaja yang terkandung dalam coretan ini, aku yakin, pasti adanya pro dan kontra bagi para pembaca. Namun aku terbuka untuk berbicara kerana qasadku bukan mencari salah sesiapa, tetapi kita sama-sama mencari kebenaran untuk kita praktikkan bersama.

Coretan ini hasil daripada detikan hatiku yang mahukan perbicaraan tentang lirik yang terkandung di dalam lagu “Negaraku”. Bukan aku nak mempertikaikan tentang makna yang terkandung di dalam lirik lagu ini seperti mana yang ramai telah ketahui khususnya pencipta lirik ini sendiri. Terus terang aku ulangi yang aku tak mempertikaikannya sama sekali!

Maka coretan ini aku tampilkan sekadar yang aku nampak akan maksud yang tersirat di sebalik lirik ini, yang bagiku amat besar mafhumnya untuk kehidupan kita yang sementara ini.

Aku mulai dengan bait mula lirik lagu ini iaitu;

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

‘Negaraku’ ini aku maksudkan hati yang ada dalam setiap diri insan, ‘Tanah tumpahnya darahku’ pula aku maksudkan akan segala detikan yang terpencir dari lubuk ‘Negaraku’ ini iaitu hati, maka diiringi ‘Rakyat hidup bersatu dan maju’ yang aku maksudkan kepada segala anggota badan yang menterjemahkan ‘Tanah tumpahnya darahku’ yang berpunca daripda ‘Negaraku’ kepada segala perlakuan dan perbuatan.

Pada bait mula ini, sebenarnya insan itu belum lagi selamat kerana ‘Tanah tumpahnya darahku’ ini merupakan penciran dari lubuk ‘Negaraku’ yang bersifat umum di mana penciran ini mempunyai dua jalan iaitu baik atau buruk. Seandainya terjemahan segala anggota itu kepada segala perlakuan dan perbuatan yang baik, maka pasti insan ini selamat. Tetapi jika terjemahan itu kepada segala perlakuan dan perbuatan yang buruk, maka insan ini pastinya tidak selamat.

Solusi kepada bait mula lirik lagu ini ada terkandung di dalam baik yang seterusnya. Bait yang seterusnya iaitu bait yang kedua dan ketiga adalah sama. Jadi memadailah bagiku menghadirkan di sini hanya satu bait sahaja iaitu;

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

‘Rahmat bahagia Tuhan kurniakan’ pula bermaksud, di atas nama Allah serta sifatNya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, maka Dia memencirkan ilmuNya ke dalam lubuk ‘Negaraku’ iaitu hati. Maka ‘Negaraku’ ini akan mendetikkan sesuatu yang dinamakan ‘azam’ untuk diterjemahkan kepada perbuatan dan kelakuan yang dinamakan ‘tahqiq’ iaitu kenyataan bagi apa yang diazamkan itu. Proses penzahiran ‘azam’ ini dan seterusnya ‘tahqiq’ tetaplah bermula dari ‘Negaraku’ yang dinamakan ‘ilmu’.

Kemudian diikuti dengan ‘Raja kita selamat bertakhta’ membawa maksud berlakulah segala perlakuan dan perbuatan yang dipandu oleh ‘Negaraku’ yang mendapat redhaNya. Maka segala perlakuan dan perbuatan ini pastinya tidak lari atau terpesong daripada apa yang dibawa oleh Junjungan Besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w. Apabila perlakuan dan perbuatan ini mengikut acuan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. yang telah diyakini bukannya daripada rekacipta nafsu Beliau s.a.w., semuanya merupakan wahyu daripada Allah semata-mata, maka diri insan ini pastinya selamat dan bahagia di dunia dan akhirat.

Ada pun pada bait yang ketiga ini merupakan ulangan bait yang kedua tadi bermaksud, satu harapan yang tidak pernah putus bagi si insan untuk meraih keredhaan Allah yang mengikut acuan yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. Maka harapan yang tidak pernah putus ini dinamakan istiqamah si insan mengharapkan kasih sayang Allah kerana sesungguhnya kasih sayang Allah itu mengatasi murkaNya. Maka bermunajatlah si insan ini dengan memanjatkan doa ke hadrat Allah, memohon restu dan perkenanNya, agar selamat dan bahagia. Si insan ini bangun di tengah malam, menggunakan kesunyian malam untuk bermunajat dengan tangisan yang berisi penuh keinsafan dan kesedaran akan kekerdilan dan kelemahan dirinya yang bernama insan. Hanya satu yang diharapkan oleh insan ini dengan katanya; “Ya Allah, aku hanya mengharapkan kasih sayangMu untuk membimbingku ke jalan yang Engkau redhai, tanpa bantuanMu aku pasti tidak memperolehinya, sesungguhnya aku amatlah kerdil lagi lemah. Ya Allah, aku serahkan diriku ini untuk mendapat bimbinganMu kerana sememangnya diriku ini adalah milikMu. Maka harapan dan penyerahan aku ini terkandung di dalam lafaz “INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN, WALA HAULA WALA QUWATA ILLAH BILLHIL ‘ALIYIL ‘AZDIM”...

Tetapi janganlah pula kita mengambil kesempatan di atas kasih sayang Allah ini dengan angan-angan pintu taubat masih terbuka, maka kita pun melakukan apa sahaja perbuatan tanpa mengira segala hukum yang telah ada. Sebenarnya kita tidak tahu bila ajal kita bakal menjelma. Jadi, tepuk dada, di atas ilmu yang ada, tanyalah hati kecil yang tidak pernah berdusta...

Sekian dulu untuk kali ini, maaf aku pinta andainya coretan ini mengguris hati sesiapa yang membacanya. Segala kebaikan daripada coretan ini adalah daripadaNya belaka, segala kekurangan adalah dariku semata-mata, yang mungkin mengikut nasfu semasa mencoret kata. Wallahu a’lam...

Sekian...

clip_image004[4]