Tuesday, September 14, 2010

Hakikat Solawat

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Sebagaimana halnya dengan solawat, salam dinilai sama dengan solawat kerana di dalam ayat Al Quran tentang solawat pada surat al Ahzab ayat 56 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersolawat ke atas nabi, wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu semua ke atas nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya”.

Daripada ayat tersebut terlihat bahawa, perintah bersolawat dan mengucap salam penghormatan disampaikan secara bersamaan dan sehingga ketika ini, belum ditemukan sebarang dalil yang lain yang membezakan di antara solawat dan salam yang berasal daripada Al Quran dan hadith Nabi saw selain daripada perbezaan penafsiran hukum oleh para ulama tentang solawat dan salam.

Merujuk kepada surat al Ahzab ayat 56 tersebut, Allah dengan tegas telah menyatakan bahawa solawat dan salam merupakan perintah wajib untuk orang-orang yang beriman. Dan Al Quran sebagaimana yang diimani dan diyakini oleh seluruh orang-orang yang beriman merupakan sumber hukum pertama dan utama di dalam struktur hukum Islam.

Sesungguhnya perbezaan di antara solawat dan salam pada hakikatnya adalah pada tujuan daripada solawat dan salam itu, serta siapa yang bersolawat dan siapa yang menyampaikan salam. Solawat bersifat khusus yang hanya dilakukan oleh Allah swt dan para malaikatNya untuk Rasulullah Muhammad saw, bukan kepada makhluk selain baginda sebagai suatu bentuk penghormatan.

Manusia tidak berhak untuk menyampaikan solawat kepada Rasulullah kerana status atau keadaan manusia selain daripada Rasulullah Muhammad saw semuanya berada di bawah keagungan Rasulullah saw. Solawat tidak boleh disampaikan oleh makhluk yang lebih rendah atau sama tingkatannya kepada yang lebih tinggi atau sama darjat kemuliaannya.

Kerana itu, hanya Allah yang berhak untuk menyampaikan solawat kepada Nabi saw. Sebagai catatan, perlu disampaikan bahawa para malaikat yang bersolawat kepada Nabi saw pada ayat solawat tersebut bukan mengisyaratkan bahawa kedudukan malaikat lebih tinggi daripada Nabi saw tetapi, sebuah penghargaan yang diberikan Allah kepada para malaikatNya.

Kemuliaan Nabi saw berada di atas kemuliaan para malaikat. Bahkan ada sebahagian ulama berpendapat bahawa kedudukan malaikat di sisi Allah berada di bawah kedudukan para wali dan aulia serta orang-orang soleh yang dicintai Allah, kecuali para malaikat khusus seperti malaikat Jibril, Mikail, Malik, Ridwan dan lain-lain. Sedangkan kedudukan para wali Allah, aulia dan orang-orang soleh adalah sebagai penerus atau penyambung risalah yang telah disampaikan oleh Rasulullah Muhammad saw sebagai nabi dan rasul terakhir.

Kerana solawat adalah hak Allah, maka kepada manusia yang beriman hanya diperintahkan untuk menyampaikan salam kesejahteraan kepada Nabi saw. Perkataan solawat yang selama ini kita kenali pada hakikatnya adalah doa yang disampaikan kepada Allah untuk Nabi saw iaitu “Berikanlah kesejahteraan kepada Nabi Muhammad”. Selain itu, solawat hanya dikhususkan untuk Nabi Muhammad saw dan selain kepada baginda hanya disampaikan salam, sehingga solawat bersifat khusus untuk Nabi saw dan salam berlaku secara umum untuk manusia.

Hal ini sesuai dengan pendapat Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa, beliau tidak mengetahui ada solawat daripada seseorang kepada orang yang lain selain kepada Nabi saw yang kemudian dibalas oleh Nabi untuk kaum muslimin dan muslimat berupa istighfar. Menurut suatu riwayat, Rasulullah pernah bersabda bahawa, “Solawat yang disampaikan kepada orang lain selain diriku adalah tidak sah” dan at Tsauri mengatakan bahawa, bersalawat kepada selain Nabi saw hukumnya makruh. Pendapat ini sama dengan pendapat Al Baihaqi dan Abdur Razzaq. Riwayat lain menyatakan bahawa, Khalifah Umar bin Abdul Aziz ra pernah di dalam satu surat untuk para gabenornya menyampaikan begini; “…. Saat kau terima suratku ini, perintahkan agar mereka bersolawat kepada Rasulullah saw secara khusus, dan berdo’a untuk kaum muslimin secara umum dan berdoalah sesuka hati setelah melakukan dua hal itu …”.

Imam Al Ghazali mengatakan bahawa untuk setiap doa yang disampaikan kepada Allah, tidak akan diterima apabila tidak didahului dengan solawat kepada Rasulullah saw, sehingga solawat dan salam kesejahteraan kepada Nabi Muhammad saw pada awal doa atau pembukaan doa merupakan salah satu syarat untuk dikabulkan akan doa tersebut oleh Allah swt. Wallahu a’lam…

Saturday, September 4, 2010

Seberapa Kafirkah Kita?!

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Seseorang yang dikatakan murtad adalah orang yang sengaja ingin keluar daripada agama Islam dan kembali kepada kekafiran dengan kesedarannya sendiri pada saat itu atau pada saat kemudian kerana meragui dan meragukan kebenaran ajaran agama, samada keluarnya itu masih berupa isyarat kerana sesuatu hal atau sudah dikatakan ataupun belum.

Seseorang juga sudah boleh dikatakan kafir apabila mempunyai niat untuk kafir atau mengucapkan sesuatu yang membuatkan dia kafir, sekalipun di dalam gurauan atau jenaka seperti mengingkari keEsaan Allah dan sifat-sifat Allah, tidak percaya dan mempercayai ajaran Islam samada menambah atau mengurangi daripada apa-apa yang sudah ditetapkan secara syariat atau pun yang sudah ditetapkan secara ijmak seperti masih ragu-ragu untuk mengkafirkan orang Yahudi atau Nasrani.

Beberapa perbuatan yang boleh membuatkan seseorang tersebut dikatakan kafir adalah seperti sujud kepada patung atau berhala, matahari dan atau berjalan ke gereja dengan memakai pakaian mereka dan mengikuti peribadatan mereka.

Selain itu, dengan sengaja meletakkan kertas yang bertuliskan ayat-ayat Al Quran, ilmu Syariat, nama Allah, nama nabi, malaikat dan lain-lain di tempat yang kotor, sekalipun yang kotor tersebut suci seperti ludah atau ingus.

Seseorang juga sudah boleh dikatakan kafir apabila ingkar terhadap kenabian nabi-nabi yang sudah disepakati para ulama, mengingkari penurunan kitab-kitab suci seperti kitab Zabur, kitab Taurat dan kitab Injil serta suhuf atau lembaran-lembaran yang diturunkan kepada nabi Ibrahim. Ingkar terhadap kewajiban yang sudah diwajibkan dan pengharaman perkara yang diharamkan yang sudah disepakati oleh para ulama dan atau perkara yang sudah diterangkan secara jelas di dalam hukum syariat seperti solat, puasa, riba, zina dan lain-lain.

Mengingkari kemukjizatan Al-Quran, persahabatan nabi dengan para sahabatnya, hari berbangkit, syurga dan neraka, tidak mempercayai atau menghina salah seorang nabi, meragui malaikat, mencacimaki nabi dan mengakui seseorang yang mengaku menjadi nabi setelah nabi Muhammad saw.

Seseorang juga boleh dikatakan kafir apabila rela terhadap kekufuran yang tertegak di atas muka bumi ini, menyeru orang–orang lain untuk kafir sekali pun dengan sindiran atau isyarat atau mengisyaratkan kepada orang kafir yang ingin masuk Islam atau melarang mengajar orang kafir akan kalimat keislaman, termasuk menolak atau menangguhkan untuk mengajar orang kafir yang meminta kepadanya untuk diajari, walaupun penangguhan itu di dalam waktu sesaat, termasuk di dalamnya berdoa dengan doa-doa; “Semoga Allah tidak memberi kamu keimanan” atau; “Semoga keimanan kamu dicabut”; dengan tujuan mempersulitkan seseorang yang ingin masuk Islam.

Begitu juga seseorang boleh dikatakan kafir atau menjadi kafir bila mendahulukan atau memberi penghormatan kepada wali melebihi penghormatan kepada nabi. Atau seseorang mengaku melihat Tuhan dengan jelas atau mengaku telah berbicara dengan Tuhan atau Allah menampakkan diriNya atau Allah telah memberinya makan dan minum secara langsung atau Allah telah menggugurkan perkara yang haram padanya atau untuknya diperbolehkan melakukan perkara yang diharamkan, atau seseorang boleh mendekatkan diri kepada Allah tanpa jalan ibadah atau mengaku dia telah mencapai darjat yang boleh menggugurkan segala hukum syariat dan tidak terikat lagi dengan ajaran agama.

Menghina Allah dan nabi-nabi Allah, perintah Allah, larangan dan janji Allah, mencerca sifat–sifat Allah seperti sesungguhnya Allah pemalas, mengubah kalimat al Quran dengan mengiktiqadkan itu berasal daripada Allah. Membaca bismillah untuk meminum khamar, berzina atau menyatakan; “Apabila Allah dan rasulNya memerintahkan aku, maka aku tidak akan menjalankannya”; Atau “Aku tidak sudi memasuki syurga Allah kalau Allah memasukan aku ke dalamnya”, dengan maksud menghina.

Juga boleh menjadi kafir seseorang itu apabila berkata; “Bila Allah menyeksa aku lantaran aku meninggalkan solat padahal aku mengalami kesakitan yang amat sangat, maka Allah telah berbuat zalim padaku”; Dan ungkapan-ungkapan lain yang sama maksudnya. Atau dia berkata; “Orang azan itu bohong” atau; “Suaranya seperti orang kafir” dengan nada menghina atau memperlekeh-lekehkan atau; “Kamu telah kenyang membaca Al Quran, berzikir” atau; “Aku tidak takut pada hari kiamat, neraka, padang mahsyar atau segala dosa yang telah aku lakukan”.

Menghina majlis ilmu, orang-orang yang menghadiri majlis ilmu atau mengatakan; “Semoga Allah mengutuk para ulama”. Bila dia berkata; “Semoga terkutuk seluruh para ulama”, maka dia akan kafir sekalipun tidak dengan nada menghina, sebab pengertian ulama adalah mencakupi para nabi dan malaikat atau dia mentertawakan para ulama, mubaligh dan guru-guru dengan nada menghina di hadapan umum, agar mereka juga mentertawakannya atau hanya sekadar mempermain-mainkan sahaja atau dia membuang fatwa seorang alim dan berkata; “Untuk apa fatwa ini?” dengan maksud menghina.

Seseorang muslim juga boleh menjadi kafir apabila berharap untuk keluar daripada agama Islam atau bila beragama Islam, maka dia meminta beberapa imbuhan atau dia berkata; “Hendaknya Allah mengharamkan untuk zaman tertentu, sehingga zina diperbolehkan untuk sementara”. Begitu juga menganiaya orang, membunuh atau dia mengatakan; “Allah berbuat kezaliman” atau; “Allah dalam mengharamkan sesuatu itu, penuh dengan kezaliman”. Seseorang itu boleh menjadi kafir bila mana dia mengenakan pakaian khusus orang-orang kafir seakan-akan condong kepada agama kufur.

Begitu juga apabila seseorang muslim itu apabila dengan sengaja menyesatkan umat Islam yang lain, mencacimaki para sahabat Nabi, Hasan dan Husin. Apabila ditanya tentang keimanannya, lantas dijawab; “Aku tidak mengerti”. Apabila ditanya; “Apakah kamu muslim?” Lantas dijawab; “Aku bukan orang muslim!”, dengan jawapan yang disengajakan. Apabila seseorang bertanya kepada seseorang muslim, lantas dijawab; “Aku tidak ada urusan dengan hal-hal yang tidak berguna seperti itu”. Atau apabila seseorang muslim melarang orang lain mengucapkan kalimat-kalimat yang diperintahkan Allah; Semua tindakan atau perbuatan seperti dinyatakan tadi boleh menjadikan seseorang muslim itu kafir.

Mengatakan kafir kepada orang muslim atau mengatakan; “Berbuatlah amalan batin sahaja dan tinggalkanlah amalan syariat” atau seseorang berkata; “Aku memperolehi wahyu” atau; seseorang mendakwa atau mengatakan bahawa kenabian itu boleh diperolehi atau dicapai bila mana hatinya telah bersih dan jernih atau berkata; “Bila nabi itu berkata benar maka aku akan mengikutinya”, pada hal dia tidak melakukannya atau berbohong.

Atau berkata “Kami diberi hujan kerana berkat bintang ini”, dengan anggapan bahawa bintang tersebut berpengaruh untuk menurunkan atau tidak menurunkan hujan; Atau berkata bahawa nabi nabi itu hitam atau bukan suku Quraisy atau bukan bangsa Arab atau orang berkata; “Aku lupa apakah nabi itu dilahirkan di Makkah?” atau; “Aku lupa apakah nabi itu wafat di Madinah?”.

Itulah beberapa hal yang sepatutnya diingati agar kita tidak melakukannya dan semoga kita diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah swt agar sentiasa di atas landasan kebenaran yang diredhai olehNya. Seandainya di dalam keadaan sedar atau tidak sedar, ada di antara kita pernah melakukan beberapa hal yang telah disebutkan di atas atau beberapa hal lain yang belum atau tidak disampaikan di atas (tetapi perbuatan tersebut menggambarkan keadaan memperlekehkan atau menghina Islam dan segala yang berkaitan dengan Islam), maka tidak ada pilihan lain yang boleh dilakukan selain dari menyegerakan taubat dengan sebenar-benarnya, semoga Allah merahmati kita semua, amin… Wallahu a’lam…