Wednesday, June 30, 2010

Ternyata Allah Bukan Tuhan Yang Sesungguhnya

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Mengenal Tuhan adalah pelajaran pertama yang seharusnya diajarkan oleh setiap ibubapa kepada anak-anaknya, kerana mengenal Tuhan dengan segala sifat yang menyertainya merupakan kelurusan tauhid yang terpenting, yang mesti difahami dan diyakini oleh setiap manusia yang memilki akal.

Sekarang jika kamu ditanya: Siapakah Tuhanmu? Maka, jawablah bahawa “Tuhanku adalah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang menjadi sebab dari sekalian sebab dan Tuhan yang menjadi tempat bergantung segala sesuatu, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Dia”.

Itulah Allah, Tuhan yang tidak ada yang berhak disembah melainkan Dia semata-mata. Dia Tuhan yang tidak pernah tidur, kekal selama-lamanya dan terus menerus mengurus hambanya, tidak mengantuk lagi pula tidak pernah tidur, Dia yang memiliki apa-apa yang ada di bumi dan apa-apa yang ada di langit. Sesungguhnya Tuhan itu adalah Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Jawaban tersebut tentunya bukan hanya sekadar jawapan yang terlahir dari lisan saja, tetapi merupakan ungkapan hati yang mengandungi konsep taat, tunduk dan patuh atas semua perintah yang telah diperintahkanNya, baik itu perintah untuk meninggalkan segala sesuatu ataupun perintah untuk mengerjakannya atau secara umum dikatakan, menghindari semua laranganNya dan mengerjakan semua perintahNya tanpa sebab yang lain selain dari sebab kerana Dia. Itulah keyakinan tauhid yang benar lagi lurus.

Lebih jauh, sesungguhnya asal dari perkataan “Allah” adalah kata “al-Ilah” yang bererti sesuatu yang disembah oleh sesuatu yang rendah di hadapanNya, maka itu dikatakan dengan “Ilah” dengan bentuk jamaknya “Aalihah” yang bererti tuhan-tuhan.

Orang-orang kafir menamakan tuhan-tuhan mereka dengan “Alihah” kerana menurut keyakinan mereka, berhala-berhala dan patung-patung itu adalah tuhan-tuhan mereka dan tuhan-tuhan itu berhak untuk disembah, sehingga penamaan “Alihah” bukan berasal dari makna yang dikandung nama tersebut, tetapi lebih berdasarkan keyakinan waktu itu. Ibnu Atsir menyatakan bahwa nama “Ilah” diambil dari kata “Alihah”. Jadi kata “Ilah” bererti sesuatu yang dianggap tuhan atau yang dipertuhankan.

Pemakaian kata Allah sebagai nama bagi Tuhan ‘azza wajalla Yang Maha Esa dalam konsep pemahaman hukum Islam, bukan pemberian nama tersebut oleh makhluk yang menyembahNya, tetapi merupakan sebutan oleh Tuhan sendiri tentang diriNya, tidak ada satu makhluk pun di dunia ini yang berhak memberikan nama untuk Tuhan ‘azza wajalla. Allah telah memperkenalkan diriNya sendiri dengan nama yang dipilihNya sendiri melalui ayat-ayat tauhid yang dimuatkan di dalam isi kandungan Al-Quran dan Hadith Rasulullah Muhammad saw.

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas dan berapa pendapat lain yang terkenal, dapat disimpulkan bahawa kata Allah yang dipakai sebagai nama oleh Tuhan ‘azza wajalla merupakan kata serapan dan segala sesuatu yang disembah selain daripada Allah, termasuk di dalam berdoa meminta pertolongan dan menjadi sebab segala sesuatu, maka ia telah dianggap sebagai Tuhan, Tuhan yang disembah.

Dalam posting ini dinyatakan bahawa sembahan-sembahan itu tidak benar dan sesat, kecuali sembahan-sembahan itu adalah Allah yang merupakan Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang telah menciptakan semua makhluk dan Tuhan bagi semua makhluk yang ghaib ataupun yang nyata, sebagaimana yang telah dimaklumi oleh bangsa Arab di dalam pengucapan mereka dan di dalam Al-Quran yang diturunkan di dalam bahasa Arab, yang mudah dimengerti dan difahami semua manusia yang mahu mempelajarinya.

Jadi, setelah kita melakukan penelitian dalam konsep yang lain, teranglah dan nyatalah bagi kita bahawa Allah bukanlah Tuhan yang sesungguhnya. Allah adalah nama yang agung, yang digunapakai oleh Tuhan ‘azza wajalla untuk memperkenalkan diriNya sendiri kepada hamba-hambaNya. Dan ketika Allah menjadi menjadi Tuhan, maka kepadaNyalah terletak segala sembah dan pergantungan. Wallahu a’lam…

Sunday, June 27, 2010

Allah Adalah Nama Yang Utama Bagi Tuhan

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Ketika Allah Menjadi Tuhan. Allah adalah nama yang utama dan sangat terkenal serta paling luhur dari Tuhan ‘azza wajalla yang Maha Mulia, sehingga tidak ada satu pun manusia di dunia ini, baik dari kalangan muslim dan golongan kafir serta atheis sekalipun, yang apabila ditanyakan kepadanya tentang kata “Allah”, tentunya sudah biasa dipastikan jawapannya adalah “Allah adalah salah satu nama tuhan”. Tidak ada perbezaan pendapat tentang itu, sehingga kata Allah sudah mutlak menjadi nama Tuhan ‘azza wajalla dan tidak satu makhluk pun yang diizinkan memakai nama dengan kata Allah, serta kata Allah sudah dicabut dari lisan makhluk selain sebutan untuk Tuhan ‘azza wajalla sahaja.

Allah adalah nama yang paling luhur dan paling agung bagi Zat Yang Maha Esa yang telah disebutkan dalam Al-Quran sebanyak 2696 kali dan hadith Rasulullah Muhammad saw tentang keluhuran nama Allah menyatakan sebagai berikut;

“Dari Mush’ab bin Sa’din dari bapanya berkata: Seorang arab Badawi datang kepada Rasulullah saw lalu berkata, ajarkan saya satu kalimat yang baik untuk saya ucapkan! Rasulullah saw berkata: Katakanlah: “Tidak ada Tuhan kecuali Allah Yang Maha Esa tidak ada sekutu bagiNya, segala pujian bagi Allah, Maha Suci Allah yang menguasai seluruh alam, dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali atas pertolongan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”. Kemudian beliau saw berkata, “Semuanya hanya untuk Allah” (HR : Muslim).

Serta dalam beberapa ayat Al Quran, Allah telah menerangkan dan memperkenalkan diriNya sendiri dengan sangat nyata dan sangat jelas seperti:

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Aku, sembahlah olehmu sekalian akan Aku” (Al-Anbiya’ : ayat 25)

“Dan Tuhanmu adalah Allah Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan lagi kecuali hanya Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang (Al-Baqarah : ayat 163)

“Katakanlah, sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku adalah; Bahawasanya Tuhanmu adalah Allah Yang Maha Esa” (Al-Anbiya’ : ayat 108 )

“Katakanlah; Allah adalah Tuhan yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu, Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia” (Al Ikhlash : ayat 01-04)

Nama-nama lain yang yang dimilki oleh Allah apabila disebutkan bersamaan dengan nama Allah itu, maka kedududukannya hanya sebagai sifat seperti Ar Rahman, Ar Rahim dalam ayat pertama surat Al-Fatihah “Bismillahir rahmanir rahim”, yang bererti; “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”. Rahman dan Rahim menjadi sifat daripada Allah yang Maha Pengasih dan sifat daripada Allah yang Maha Penyayang.

“Sesungguhnya Allah mempunyai sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Barangsiapa yang menghitungnya (menjaganya) akan masuk syurga” (HR : Bukhari)

“Dia (Allah ) itu ganjil, yang menyukai hal-hal yang ganjil” (HR : Bukhari)

Setiap nama-nama Tuhan selain daripada kata Allah atau sifat-sifatNya adalah penjelasan daripada namaNya, kerana itu Ibnu Qayyim mengatakan bahawa, Allah adalah nama yang mencakupi sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan Maha Agung, termasuk dalam seluruh nama yang terkandung di dalam al Asma al Husna dan sifat-sifatNya yang luhur.

Allah tidak boleh dipanggil dan diseru baik dalam zikir ataupun dalam doa dengan nama-nama yang bukan namaNya atau, Allah tidak boleh disebut dengan nama-nama yang diciptakan manusia selain dengan nama-nama yang sudah diberikan dan diperkenalkan sendiri oleh Allah tentang diriNya dalam ayat-ayat Al-Quran dan nama-nama yang sudah disampaikan oleh baginda Rasulullah Muhammad saw melalui sunnah baginda.

“Allah memiliki al Asmaul Husna (nama-nama yang baik), maka mohonlah kepadaNya dengan nama-nama itu, dan tinggalkan orang-orang yang menyimpang dari menyebut namaNya kerana mereka akan mendapat balasan dari apa yang mereka kerjakan” (Al-A’raf : ayat 180)

Dalam ayat tersebut, Allah memerintahkan agar kita menyeru dan berdoa kepadaNya dengan nama-nama pilihan yang dimilikinya, sehingga jika ada yang mengisbatkan sebuah nama kepada Allah, hal itu tidak layak dilakukan dan diikuti.

Khatabi telah memperingatkan bahawa tidak hanya orang awam yang terjebak dalam pemahaman yang keliru tentang nama-nama Allah ini, tetapi banyak para ulama yang terjebak dalam ketidakbenaran itu seperti memberikan nama untuk Allah dengan nama-nama yang bersifat ikhbar (pengkhabaran) kerana menurut Sulaiman Al-Asyqar, ruang kajian ikhbar lebih luas daripada kajian penamaan terhadap Allah.

Selain ikhbar, sebahagian ulama juga telah memberikan penamaan terhadap Allah dengan nama-nama yang berkonsepkan negatif. Ibnu Hajar mengatakan bahawa, para ulama telah sepakat bahawa menamai atau mensifati Allah dengan sesuatu yang menimbulkan kesan negatif tidak boleh atau dilarang, yang berkemungkinan penggunaan nama-nama yang berkonsepkan negative tersebut akan disalah maksudkan dengan Allah dan secara tidak langsung akan membawa kepada penyelewengan pemahaman tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah.

Kembali kepada topik “Allah adalah nama yang utama dan sangat terkenal serta paling luhur dari Tuhan ‘azza wajalla yang Maha Mulia”, Rasulullullah Muhammad saw menganjurkan kepada umatnya untuk berdoa dengan nama-nama yang dimiliki oleh Allah yang Maha Agung. Jadi, doa-doa kebaikan yang disampaikan kepada Allah hendaknya dengan memakai nama-nama Allah yang Maha Mulia sepertimana hadith baginda:

“Rasulullah di suatu ketika, mendengar para sahabatnya berdoa dengan membaca sejumlah doa, baginda menjelaskan kepada mereka bahawa doa yang telah mereka baca itu adalah doa-doa yang mengandungi nama Allah yang Maha Agung, yang jika diseru dengan doa tersebut, maka Allah akan memenuhinya, dan jika dimohon maka Allah akan member perkenanNya”.

Rasulullah pernah mendengar seorang sahabat berdoa dengan mengatakan “Tuhanku, sesungguhnya akau memohon kepadaMu, aku bersaksi bahawa Engkau adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Engkau, Zat yang Esa, tempat bergantung segala sesuatu, yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang menyamaiNya”. Rasulullah saw kemudian bersabda, “Demi Zat yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, dia benar-benar berdoa dengan menggunakan nama Allah yang Maha Agung, yang jika Dia diseur, maka Dia akan menjawab dan jika diminta, Dia akan member”. ( HR : Tirmizi dan Abu Daud )

Jadi berdasarkan hadith di atas, dapat disimpulkan bahawa berdoa dengan memakai atau bertawassul dengan nama-nama Allah yang Maha Mulia, akan membuat atau menjadi salah satu sebab doa yang disampaikan kepada Allah akan lebih cepat dikabulkan, insya Allah… Wallahu a’lam…

Wednesday, June 23, 2010

Sebelum Allah Menjadi Tuhan

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAH.............

ISTI'AZATI BILLAH, WABTIDAIE BISMILLAH, WA KULLULHAMDI LILLAH, WASSOLATU WASSALAMU 'ALA RASULILLAH, WA 'ALA ALIHI WA ASHABIHI WA MAN WALAH.............

SUBHANAKALA ‘ILMALANA ILLA MA ‘ALLAMTANA, INNAKA ANTAL’ALIMUL HAKIM, RODHITU BILLAHI RABBAN WABIL ISLAMI DINAN WA BIMUHAMMADIN NABIYAN WA RASULA.............

AMMA BA'DU,

Sebelum Allah Menjadi Tuhan, ketika semua makhluk belum ada, bumi dan langit belum diciptakan, syurga dan neraka belum ada. Keadaan itu bagi kalangan para ahli tasawuf dikenali dengan sebutan “Alam Sunyi”. Pada keadaan “Alam Sunyi” tersebutlah, Zat berdiri dengan nurNya dan dengan NurNya itu Zat berdiri dengan sendirinya serta dengan NurNya iaitu Zat terdiri dengan sendirinya, tanpa sebab yang menyebabkannya.

Tahap selanjutnya, daripada NurNya itu timbullah sifat wujud daripada Zat yang bererti ada. Dan mulai saat itu, Zat tersebut menjadi ada dengan sifat wujudnya atau adanya Zat tersebut dengan sifat wujudNya itu. Sehingga tanpa sifat wujud itu, Zat hanyalah Zat semata-mata kerana belum ada sifat yang menyebabkan adanya. Dengan telah adanya sifat wujud yang bererti ada, adanya Zat itu dengan terpancarnya Nur daripada Zat, sehingga Nur yang terpancar daripada Zat adalah sesuatu yang membuktikan adanya Zat. Tanpa Nur yang memancar dari Zat, sifat wujud dari Zat tidak boleh dibuktikan.

Ini merupakan pemahaman yang sangat penting, kerana sebagai makhluk, kita tidak diberi hak atau kita tidak diberi kuasa ilmu untuk membicarakan tentang Zat Tuhan. Sebagai makhluk, kita hanya diberi ruang yang terbatas untuk penelitian tentang perbuatan Tuhan (Zat) sahaja, iaitu sesuatu yang sudah diciptakan dan atau dizahirkan oleh Tuhan (Zat) atau sesuatu yang sudah ada dan diadakan, sehingga apabila sesuatu itu telah ada, kita boleh dan diberi hak untuk melakukan penelitian dan perbahasan, sesuai dengan keterbatasan kemampuan yang dimiliki.

Kembali kepada pancaran Nur yang menjadi bukti daripada adanya Zat yang sebelumnya Zat itu berdiri sendiri dengan NurNya, maka selanjutnya Nur tersebutlah yang melahirkan sifat-sifat daripada Zat secara keseluruhan. Nur yang memancar daripada Zat itulah yang kemudian difahami sebagai Nur Muhammad.

“Hai ahli kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul kami, menjelaskan kepadamu banyak daripada isi Al Kitab yang kamu sembunyikan dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkan” (Al Maa-idah : ayat 15). Cahaya di dalam ayat ini maksudnya Nabi Muhammad s.a.w. dan Kitab maksudnya Al Quran.

Jabir ibn `Abdillah r.a. berkata kepada Rasullullah s.a.w: “Wahai Rasullullah, biarkan kedua ibu bapaku dikorban untukmu, khabarkan perkara yang pertama Allah jadikan sebelum semua benda!”. Baginda berkata: “Wahai Jabir, perkara yang pertama yang Allah jadikan ialah cahaya Rasulmu daripada cahayaNya, dan cahaya itu tetap seperti itu di dalam KekuasaanNya selama KehendakNya, dan tiada apa-apa lagi pada masa itu” (al-Tilimsani, Qastallani, Zarqani ). `Abd al-Haqq al-Dihlawi mengatakan bahawa hadith ini sahih.

Kemudian daripada Nur Muhammad, terciptalah Lauhul Mahfuz, Arasy dan Qalam. Qalam kemudian diperintahkan untuk menulis la ilaha illallah muhammadur rasulullah. Selanjutnya, Qalam melanjutkan penulisan tentang penciptaan seperti bumi dan langit, syurga dan neraka, malaikat dan iblis serta semua makhluk lainnya, termasuk manusia, Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul serta umatnya yang patuh dan umat yang derhaka sehingga hari kiamat kelak, yang kemudian dikenali dengan Qadha dan Qadar. Dari Nur Muhammad itu jugalah kemudian terciptanya Adam ‘alaihis salam.

“Bila Tuhan menjadikan Adam, Dia menurunkan aku dalam dirinya (Adam). Dia meletakkan aku dalam Nuh semasa di dalam bahtera dan mencampakkan aku ke dalam api dalam diri Ibrahim. Kemudian meletakkan aku dalam diri yang mulia-mulia dan memasukkan aku ke dalam rahim yang suci sehingga Dia mengeluarkan aku daripada kedua ibubapaku. Tiada pun dari mereka yang terkeluar”. (HR : Hakim,Ibn Abi `Umar al `Adani)

Dari pemahaman yang singkat di atas, dapat kita membuat suatu kesimpulan bahawa sebelum Allah menjadi Tuhan, maka yang ada pada saat itu hanyalah Zat semata-mata, yang terdiri dengan sendirinya, dengan NurNya dan Allah menyatakan dirinya sebagai Tuhan setelah Allah melahirkan sifat-sifatnya melalui Nurnya tersebut. Nur Allah itu kemudian dinyatakan sebagai Nur Muhammad, sehingga melalui Nur Muhammad tersebutlah, Allah melahirkan sifat-sifat ketuhanan pada makhlukNya.

Selanjutnya melalui posting yang singkat ini, dapatlah kiranya difahami sedikit sebanyak tentang konsep pemahaman yang menyatakan bahawa “Zat pada Allah, Sifat Pada Muhammad, Rupa pada Adam dan Rahsia pada Diri Kita”.

Insya Allah, pada posting selanjutnya, kita akan cuba membahaskan tentang “Hakikat Nur Muhammad” dalam kaitannya dengan “Sifat Allah” dan hubungannya dengan “Adam” sebagai manusia yang keberadaannya di dunia ini pada hakikatnya hanyalah untuk melahirkan atau menyatakan Nur Muhammad yang merupakan sifat daripada Zat Tuhan yang bernama Allah.

Sebagai catatan daripada posting ini, perlu disampaikan bahawa ayat “Zat berdiri dengan NurNya” bukan difahami dengan konsep “Zat” dan “Nur” yang terpisah. Pemisahan dilakukan hanyalah semata-mata untuk membangunkan pengertian dan pemahaman tentang kelahiran sifat dari Zat. Wallahu a’lam…